Menguruskan tembuni atau uri selepas bersalin

Perkara yang suami patut belajar dan tahu caranya. … Read More >Menguruskan tembuni atau uri selepas bersalin

Ini kali kedua aku diminta untuk bantu pihak suami untuk membersihkan tembuni selepas isteri bersalin.

Aku sendiri belajar bersihkan tembuni ini dari seorang nenek sebelah makcik yang sudah berpisah dengan pakcik aku. Masa itu kelahiran anak kedua ku. Aku ingat lagi makcik itu tunjukkan aku cara mencuci tembuni dengan bersih sehinggalah ke persiapan untuk ditanam.

Berlainan dengan apa yang aku selalu dengar, kali itu aku diajar supaya tidak mengikut “petua” orang lama yang kata perlu ditanam sekali duit atau emas atau pensil. Kononnya bila berbuat demikian, anak itu akan menjadi orang yang kaya atau orang yang pandai. Itu boleh menjurus kepada syirik. Syirik itu terjadi apabila kita menyekutukan Allah. Dan dengan berharap pensil atau duit syiling itu akan memberi sesuatu kebaikan dan kekayaan kepada anak kita adalah salah sama sekali kerana hanya Allah yang memberi rezeki kepada semua ciptaanNya. Bukan pensel. Bukan duit syiling.

Jadi, untuk menyempurnakan proses membersihkan tembuni ini tiada pantang atau doa-doa yang khusus. Cukup sekadar baca Bismillah ketika mahu tanam dan selawat ke atas Nabi. Kalau ditanya apa doa yang dibaca ketika proses membersihkan atau menanam, aku katakan tiada doa khusus tapi aku galakkan mereka berdoa ketika solat. Aku takut kalau berdoa masa menanam tembuni itu jadi lain pula hukumnya. Lagipun, kan bagus kalau kita sentiasa mendoakan yang terbaik untuk ahli keluarga kita dalam solat.

Untuk bacaan lanjut tentang hukum menanam tembuni / uri ditempat yang tertentu boleh baca dari http://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum-cat/667-irsyad-al-fatwa-siri-ke-205-hukum-menanam-uri-di-tempat-yang-tertentu

Bahan – bahan yang diperlukan untuk membersihkan tembuni ini sebenarnya sangat mudah. Kena ingat, tujuan membersihkan tembuni / uri ini supaya ia menghilangkan bau hanyir darah supaya bila ditanam nanti ia tidak akan menarik perhatian binatang liar. 

Asam jawa, garam dan kain putih (tidak semestinya kain putih sahaja. Asalkan bersih).

Setakat ini, aku cuma berdiri dan memberi arahan kepada pihak suami. Aku tidak mahu pegang tembuni isteri mereka sebab pada pendapat aku, tembuni itu datangnya dari isteri mereka dan sebaiknya suami lah yang menguruskan tembuni tersebut. Aku pernah diberitahu yang tembuni itu juga boleh dikira sebagai kehormatan isteri, maka adalah lebih baik si suami yang menguruskannya. Lagipun, lepas ni kalau ada rezeki dberikan anak lagi, bolehlah mereka urus sendiri. Atau mereka akan sampaikan pula cara-cara membersihkan ini kepada orang lain pula.

Pertama sekali ialah menjirus air ke tembuni bagi menghilangkan darah. Darah ini sebaiknya dialirkan ke longkang atau paip, mana-mana yang mengalir supaya tidak bertakung di tempat mencuci. Dari segi kesihatan, darah boleh membawa risiko jangkitan kuman, jadi, silalah jirus sebaik mungkin dan pastikan tiada air campuran darah yang bertakung.

Kedua, setelah yakin tembuni itu bersih dari darah, lumurkan asam jawa dan garam. Tujuannya ialah untuk menghilangkan bau hanyir. Sapukan dengan rata, sehingga yakin tiada bau. Boleh perahkan limau ke atas uri supaya bau wangi limau. Tujuannya tetap sama, iaitu untuk menghilangkan bau hanyir darah.

Akhirnya, letakkan tembuni yang sudah dibersihkan itu ke atas kain dan ikat lah dengan betul dan kemas. Aku tidak galakkan tembuni yang sudah dibersihkan ini dibungkus lagi dengan plastik, atau dimasukkan dalam tin seperti petua orang dulu – dulu. Kalau dibuat juga, lama lagilah tembuni itu akan mereput dan sebati dengan tanah. Daripada tanah kita datang, kepada tanah kita kembali.

Tanamlah tembuni itu dan timbus apabila selesai. Boleh letakkan tanda seperti batu bata atau ranting kayu. Tujuannya supaya kita tidak sengaja terkorek bahagian tersebut sebab selalunya tembuni ini ditanam dikawasan rumah sendiri. Manalah tahu seminggu kemudian tiba-tiba timbul minat mahu berkebun, tersalah korek pula sebab tidak ditandakan pada mula-mulanya. 

Jadi begitulah proses bersihkan tembuni. Kerja mudah sebenarnya. Bila ada pantang larang yang berlebih-lebihan itu yang buat orang nampak kerja ini kerja susah. Sedangkan para suami sepatutnya belajar mengurus perkara sebegini.

Dan jangan lupa untuk cuci tangan dan kuku dengan betul. Manalah tahu ada cebisan atau darah beku yang terselit di celah celah kuku atau lipatan kulit. Takut tidak sah pula bila sembahyang. Dan cuci juga tempat kita membersihkan tadi dengan betul supaya tiada bekas darah bertakung.

Semoga catitan kali ini dapat memberi manfaat.

Leave a Reply