Nohutu Eco Tourism (NET) ni menyediakan homestay dan tempat bermalam di tepi sungai Melangkap, Kota Belud, Sabah. Ada banyak lagi penginapan homestay berdekatan sungai ini berikutan menjadi tular selepas gambar – gambar cantik sungai ini berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu dipamerkan di laman sosial beberapa tahun lepas. Kalau tidak silap, kawasan ini dulu ialah kawasan pertanian.
Kami bertolak dari Kota Kinabalu Lebih kurang jam 2.00 petang. Sebenarnya kami tiba di Kota Kinabalu pada jam 10.00 pagi selepas memandu lebih kurang 1 jam setengah dari Menumbok. Kami Bertolak dari Pulau Labuan menaiki feri kenderaan pada jam 6.00 pagi. Bila sampai di Kota Kinabalu, kami berhenti makan sebentar untuk mengisi perut dan berehat sambil cuci mata di kompleks Suria Sabah.
Nohutu Eco Tourism ini boleh dicari di aplikasi Google Maps. Mungkin app Waze pun sama. Dari Kota Kinabalu, perjalanan akan mengambil masa selama 1 jam setengah, bergantung kepada cuaca, sebab aku pilih untuk melalui Tamparuli dan menggunakan jalan pintas Kota Belud – Ranau. Ada pilihan lain untuk melalui Tuaran dan terus ke Kota Belud. Tapi aku pilih untuk lalu ikut Tamparuli sebab aku jangkakan pada hari itu, dan berdasarkan keadaan trafik, tidak banyak kenderaan akan guna laluan ke Kundasang. Jangkaan ku betul, dan perjalanan amat lancar sebab cuma ada satu kenderaan berat dan beberapa kenderaan pada hari itu. Sekitar jam 4.00 petang, kami sampai ke Nohutu Eco Tourism, Kota Belud.
Di sini, kami melihat rumah yang isteri aku sudah pilih. Dan memandangkan pada hari itu cuma kami sahaja yang bermalam, jadi kami pilih untuk tukar ke rumah bambu yang lebih dekat dengan jalan masuk. Rumah – rumah bambu ini disewakan pada kadar berlainan, bergantung kepada keluasan. Peralatan yang sudah sedia ada di dalam setiap rumah bambu ialah katil, lampu dan soket dinding. Pintu bambu pun jenis lungsur (sliding door), tapi perlu kuat sikitlah untuk lungsurkan.
Pintu rumah kami (nama: Rakit) tidak ada kunci. Mungkin kalau ada bawa barang berharga, boleh simpan di dalam kereta (kereta boleh park depan rumah). Tetapi inilah kelebihan tempat ni, dia bagi suasana hidup di kampung dengan binaan rumah dan kelengkapan dalaman macam ni. Tandas pun terletak di luar rumah. Jangan risau, tandas sudah dipasangkan lampu, dan disediakan kemudahan untuk mandi.
Di hujung sikit ada campsite berlantaikan simen dan berbumbungkan zinc. Nohutu Eco Tourism mementingkan keselesaan, mungkin sebab itu mereka sediakan struktur sedemikian. Sebenarnya kalau camping diluar pun boleh. Di sebelah campsite pula ada rumah – rumah kecil dengan rekaan menarik. Macam rumah Hobbit. Kelengkapan masih sama, iaitu lampu, soket dinding dan tilam. Boleh cuba bermalam di bilik ini kalau datang dengan kawan – kawan.
Kami turun ke tebing sungai. Di seberang pun ada beberapa homestay, dan pengunjung pun sudah mula turun ke tebing sungai. Di sebelah sini cuma ada Nohutu Eco Tourism, dan pada hari itu cuma kami sekeluarga dan satu lagi pasangan suami isteri berada di sana.
Sungai ini berarus deras di bahagian tengah sungai, manakala di tepian aliran sungai lebih tenang kerana banyak batu. Batuan ini memperlahankan arus dan mewujudkan takungan air. Airnya jernih, sejuk dan menyegarkan. Walaupun airnya sejuk, adik Is tetap mandi macam biasa.
Klook.comWalaupun jauh, Gunung Kinabalu nampak berdiri megah menjadikan pemandangan sungguh cantik dan mendamaikan. Disini, udaranya segar. Aliran air sungai yang sejuk dan menyegarkan. Semoga suasana dan pemandangan di sini kekal suci dari pembangunan.
Kalau mahu ke Nohutu Eco Tourism, boleh contact mereka di
Facebook : Nohutu Eco Tourism
Telefon : 013-803 4382
Instagram : Nohutu Eco Tourism Instagram
Leave a Reply